DADAH yang dirampas bersama salah seorang daripada lima anggota polis yang ditahan. FOTO Ihsan Polis
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


TIGA pegawai kanan bersama dua anggota polis ditahan dalam operasi di sebuah premis di Subang, Selangor kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah, hari ini.

Operasi itu dijalankan sepasukan anggota Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kuala Lumpur bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, kesemua mereka ditahan bersama satu peket lut sinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah berserta peralatan yang digunakan untuk menghisap dadah itu.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati, kelima-lima mereka positif dadah.

Menurutnya, tangkapan terbaru itu membuktikan keazaman pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota polis terbabit dengan pengambilan dadah.

“Kami akan menjalankan operasi berterusan bagi membersihkan PDRM daripada anasir tidak diingini.

“Mana-mana pegawai dan anggota polis yang terbabit dengan pengambilan dadah dinasihatkan supaya berhenti serta-merta sebelum mereka dikesan dan diambil tindakan keras,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Baru-baru ini, sembilan anggota polis ditahan dalam operasi di pusat hiburan di Jalan Peel dan Jalan Metro, Pudu di Kuala Lumpur.

Hasil pemeriksaan mendapati sembilan anggota polis berkenaan yang berusia 23 hingga 53 tahun berada di pusat hiburan terbabit.

Bagaimanapun, ujian air kencing ke atas anggota terbabit mendapati mereka negatif dadah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sudah mengeluarkan arahan larangan kepada semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengunjungi premis hiburan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 11:29 PM