Anggota KPDNHEP memeriksa jersi ketika serbuan di Rantau Panjang hari ini. Foto Ihsan KPDNHEP
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas jersi tiruan bernilai RM140,000 di Kawasan Bebas Cukai di Rantau Panjang hari ini.

Ops Barang Tiruan yang dijalankan bermula 9 pagi sehingga 7 malam di empat premis perniagaan di sekitar kawasan terbabit turut mendapat kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

Pengarah KPDNHEP Kelantan Adnan Abd Rahman berkata, operasi dijalankan selepas Seksyen Taktikal dan Serbuan (STAS) Ibu Pejabat KPDNHEP Putrajaya menerima aduan berhubung penjualan jersi tiruan terbabit.

“Kita kemudiannya menjalankan pemeriksaan terhadap empat premis di kawasan berkenaan dan menemui pelbagai jersi tiruan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati peniaga di empat premis itu melakukan kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, pihaknya memberi amaran kepada peniaga dan orang ramai supaya tidak menjalankan urus niaga barang tiruan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 11:22 PM