Gambar hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


WARGA emas cedera diserang tiga lelaki bersenjatakan parang yang menyamunnya di Jalan USJ4/5 di Subang Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, mangsa berusia 72 tahun dan isterinya sedang menunggu perkhidmatan e-hailing di hentian bas USJ 4/5 untuk ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) USJ 7 ketika kejadian pada 6 pagi itu.

Menurutnya, mangsa didatangi suspek yang menaiki sebuah kereta jenis sebelum menyerangnya hingga menyebabkan warga emas terbabit cedera di tangan dan belakang badan.

“Mangsa turut mengalami kerugian kira-kira RM500 apabila wang tunai, telefon pintar, kad bank dan dokumen pengenalan diri dilarikan suspek,” katanya.

Risikin berkata, kawasan berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan keadaan lokasi agak gelap ketika kejadian.

Menurutnya, tiada saksi kejadian itu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, isteri mangsa yang berusia 64 tahun menceritakan insiden terbabit menerusi mesej yang tular di aplikasi WhatsApp.

Dakwanya, dia berani keluar awal berikutan hentian bas berkenaan terletak berhampiran dengan pos pengawal kawasan perumahan.

Lelaki bersenjatakan parang itu kemudiannya merampas beg tangannya, manakala seorang lagi bergelut dengan suaminya.

Ceritanya lagi, kejadian berlaku tiba-tiba dan mereka tidak sempat lihat nombor pendaftaran kereta terbabit.

Mereka menjerit meminta tolong tetapi tiada sesiapa datang membantu.

From: HH

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 11:04 PM