Laporan portal Harian Metro mengenai kejadian.
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


“KETIKA kejadian, saya berada di pejabat sebelum dimaklumkan pihak keselamatan mengenai kematian mangsa yang dihempap pokok,” kata Maszainizam Masri.

Maszainizam adalah antara individu terawal tiba di lokasi kejadian selepas pokok tumbang menghempap seorang wanita di hadapan pintu masuk Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang ketika hujan lebat dan angin kencang melanda.

“Mangsa dikatakan sedang berjalan sambil memegang payung di kawasan itu, mungkin sebab itu mangsa tidak nampak atau perasan pokok tumbang.

“Pokok itu benar-benar menghempap bahagian kepala mangsa, berkemungkinan mangsa mengalami patah tulang belakang berdasarkan keadaan mayatnya yang berlipat,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurutnya, ia adalah kejadian kali pertama pokok tumbang yang menyebabkan kematian.

“Mungkin disebabkan faktor hujan lebat dan banjir sejak kebelakangan ini menyebabkan struktur tanah agak longgar menyebabkan ia mudah tumbang,” katanya.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan kejadian menimpa wanita yang masih belum dapat dikenal pasti identitinya itu.

Kejadian berkenaan juga menyebabkan tiga kereta iaitu jenis Proton Saga BLM, Toyota Vios dan Perodua Myvi yang parkir di kawasan berhampiran turut rosak dihempap pokok terbabit.

Berita berkaitan

Pejalan kaki maut dihempap pokok tumbang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 9:59 PM