ELIZABETH (dua dari kiri) bersama Mohd Jaafarudin (kanan) menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada Muhammad Helmi Firdaus (tengah). FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


KEHIDUPAN pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) pengidap Hydrocephalus yang kisah hidupnya dipaparkan dalam program Metro Prihatin, mendapat perhatian daripada Perbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor menerusi Bisnes Amal MBI, semalam.

Muhammad Helmi Firdaus Abdul Halid, 22, yang menetap di Bandar Kinrara, Puchong, dikunjungi Bisnes Amal MBI, semalam, dan menerima sumbangan kerusi roda bermotor.

Selain Muhammad Helmi Firdaus, ibunya, Hasazila Mohamed Hashim, 46, yang mengidap penyakit jantung dan komplikasi buah pinggang turut menerima wang tunai berjumlah RM3,000.

Ketua Pegawai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, kerusi roda bermotor bernilai hampir RM5,000 itu akan memudahkan pergerakan anak bongsu daripada tiga beradik itu melakukan aktiviti harian.

“Ini salah satu pendekatan CSR MBI dalam menyantuni golongan memerlukan.

“Pemberian kerusi roda bermotor dilihat lebih sesuai untuk kegunaan harian Helmi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sumbangan diserahkan Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan turut dihadiri Pegawai Kordinator Program Yayasan Hydrocephalus Negara, Nur Iman Rusdi.

Dalam pada itu, Helmi terharu atas keprihatinan MBI kerana sudah lama menantikan bantuan kerusi roda bermotor.

“Saya berterima kasih dengan bantuan ini kerana tidak pernah pakai kerusi roda bermotor.

“Saya hanya mampu berdoa semoga Allah SWT memurahkan rezeki penyumbang,” katanya.

Helmi berharap ibu bapa yang memiliki anak OKU terus memberikan semangat sekiranya anak mereka mahu bekerja mencari rezeki membantu keluarga.

Pada 25 September lalu, pemuda ini turut mendapat perhatian Yayasan Hydrocephalus Negara yang menyumbangkan wang ringgit selain bantuan mendapatkan rawatan susulan ke Hospital Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 9:56 PM