Presiden CUEPECS Datuk Azih Muda
Faliq Lajim
faliq.lajim@hmetro.com.my


PEMBANTU Tadbir (Perkeranian/Operasi) sekolah di Perak diminta untuk menghentikan kerja hal kewangan susulan bayaran insentif tugas kewangan (BITK) ditamatkan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda berkata, pihaknya menerima aduan mengenai penamatan elaun itu kepada 1,084 pembantu tadbir di negeri itu.

Menurutnya, elaun sebanyak RM40 itu ditamatkan secara tergesa-gesa tanpa sebarang makluman bermula kemasukan gaji bulan ini.

“Kita minta agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi penjelasan sewajarnya mengenai pemberhentian elaun ini dan apa rasionalnya ia ditamatkan?

“Elaun itu mesti dikembalikan kepada mereka. Penamatan ketika ini amat mendukacitakan kepada mereka yang menyumbang tenaga kerja siang dan malam termasuk hari minggu.

“Namun, KPM senang-senang nak hentikan. Ini tidak adil.

“Sekiranya ini caranya, kita minta pembantu tadbir itu tidak lagi melaksanakan kerja-kerja kewangan.

“Biarkan saja urusan kerja kewangan itu,” katanya kepada media selepas majlis sambutan Ulang Tahun Ke-62 kesatuan itu di Padang Merbok, Kuala Lumpur hari ini.

Azih berkata, pihaknya sudah minta untuk Kesatuan Pembantu Pegawai Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (KEPTAN) untuk berjumpa dengan pembantu tadbir yang terbabit.

“Elaun tu RM40 saja tapi tiba-tiba dikeluarkan daripada slip gaji. Amalan ini amat mendukacitakan seolah-olah kami ini seperti sampah yang tidak membawa makna kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Azih berkata, kerajaan diminta untuk memberi fokus kepada kebajikan kakitangan kerajaan termasuk aspek kesihatan, gaji dan lain-lain lagi.

“Kita tidak mahu kakitangan kerajaan menjadi golongan terpinggir di belakang. Kerajaan perlu bersama-sama kita untuk sentiasa berunding dan berbincang bagi menambah baik apa yang perlu.

“Kita bersama-sama kerajaan untuk bangunkan negara. Bukan seperti negara lain yang ada daripadanya menentang kerajaan mereka sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 9:40 PM