JOHAN Anugerah Filem Pendek dan Digital Maker kategori sekolah menengah dan sekolah rendah. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad
am@hmetro.com.my


FILEM pendek berjudul ‘Kasih Sayang Kamu’ membawa tuah kepada tiga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Agama (SMA) Setiu selepas menjuarai Anugerah Filem Pendek dan Digital Maker peringkat negeri anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu (BTPN) di BTPN di Kuala Terengganu, semalam.

Pelajar sekolah itu, Abdul Wafiy Kamaruddin yang berperanan sebagai penyunting dan jurukamera filem itu turut dinobatkan pengarah terbaik kategori Sekolah Menengah (SM).

Abdul Wafiy berkata, kejayaan itu pencapaian terbaik sepanjang pembabitan dalam pembikinan filem pendek kerana sebelum ini mereka pernah tewas dalam pertandingan video Hari Guru dan Video LR2H.

“Kami bangkit dan tidak putus asa apabila terus menyertai anugerah filem pendek kerana minat yang mendalam biarpun pernah disindir rakan-rakan.

“Alhamdulillah, kami berjaya melakar kejayaan yang begitu bermakna ini,” katanya yang menyiapkan video itu bersama rakan, Muhammad Haziezie Fauzi dan Nor Aliff Haikal Nor Azaman hasil bimbingan daripada guru, Mohd Nazrin Haikal Ruslan.

Bagi kategori Sekolah Rendah (SR) pula, Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga, Kuala Terengganu muncul johan menerusi filem pendek berjudul ‘Semarak Dahlia’.

Muhammad Asmawi Abdullah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paka, Dungun muncul pelakon terbaik SM manakala pelakon terbaik SR disandang Rabiatul Aisyah Nabilah Roslan dari SK Kompleks Gong Badak menerusi filem ‘Kongsi’.

Pengarah filem terbaik SR diraih Athirah Basirah Drahman dari SK Chabang Tiga manakala Anugerah Khas disandang Nor Azila Megat Asmara dari SK Duyong manakala SK Paka 2 meraih ‘view’ dan ‘like’ paling tinggi.

SK Bintang Setiu muncul johan pertandingan Digital Maker apabila menewaskan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) yang meraih tempat kedua manakala Sekolah Menengah Teknik Terengganu berada di ketiga.

Persembahan kumpulan terbaik menjadi milik Sekolah Menengah Imtiyaz Besut manakala SMK Rasau Kerteh B5 dinobatkan pasukan terbaik.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah BTPN Terengganu, Wan Mohd Zuhaidi Wan Hassan berkata, matlamat penganjuran pertandingan itu adalah untuk mengetengahkan bakat dan potensi dalam kalangan pelajar.

“Pertandingan sebegini mampu meningkatkan lagi minat pelajar yang celik digital terutama dalam penghasilan reka bentuk asas robotik.

“Alhamdulillah pertandingan yang julung kali diadakan ini mendapat sambutan menggalakkan dengan 70 penyertaan yang sebahagian besarnya mempunyai tahap kualiti yang baik dan rekaan inovasi yang hebat memandangkan setiap sekolah sudah mempunyai saluran TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS) sendiri.

“Mungkin selepas ini penganjuran akan diperluaskan lagi hingga ke peringkat kebangsaan demi mencungkil bakat yang ada pada pelajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 9:35 PM