Penduduk membersihkan kawasan rumah yang terjejas akibat banjir di Gelang Patah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
BERNAMA

HUJAN lebat serta angin kencang yang melanda beberapa negeri sejak kelmarin mengakibatkan tiga negeri dilanda banjir dan hari ini seorang wanita di Kuala Lumpur maut dihempap pokok tumbang.

Setakat ini negeri yang terjejas sehingga menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ialah Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Hujan lebat serta angin kencang itu turut menyebabkan banjir kilat di sekitar Lembah Klang sekali gus menandakan bermulanya fenomena Monsun Timur Laut atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di negara ini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata, wanita itu dihempap sebatang pokok ketika berjalan kaki di hadapan pintu masuk utama Universiti Malaya (UM).

“Selain itu, kejadian pokok tumbang dalam ribut pada 5.30 petang itu, tiga kereta di kawasan terbabit turut rosak,” katanya.

Sehingga 4 petang ini, 1,014 mangsa dari Johor, Perak dan Pulau Pinang dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) mangsa banjir selepas rumah mereka dinaiki air.

Di Johor, jumlah mangsa banjir di dua daerah di negeri itu petang ini meningkat 596 orang membabitkan 132 keluarga berbanding 510 orang daripada 111 keluarga pada pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, semua mangsa banjir di daerah Pontian dan Johor Bahru itu ditempatkan di enam PPS.

“Mereka adalah daripada lima kampung di Pontian iaitu Kampung Parit Basilam, Kampung Maju Jaya, Kampung Melayu Batu 30 Bukit Panjang, Kampung Seri Bunian dan Kampung Jasa Sepakat serta satu di Johor Bahru iaitu Kampung Ulu Pulai,” katanya dalam kenyataan.

Seramai 30 orang ditempatkan di Madrasah Parit Basilam, SK Seri Bukit Panjang (98), Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai (77), SK Parit Haji Adnan (75) dan SK Sri Bunian (83) manakala di Gelang Patah 233 mangsa di tempatkan di SK Kampung Pulai.

Di Perak, jumlah terkini mangsa banjir di dua PPS turut meningkat dengan pertambahan 75 lagi mangsa daripada 17 keluarga di daerah Kerian, menjadikan jumlah keseluruhan 308 orang berbanding 299 orang pagi tadi.

Sehingga petang ini, daerah yang terjejas banjir di negeri itu ialah Teluk Intan dan Kerian.

Di Pulau Pinang, cuaca cerah menyebabkan bilangan mangsa banjir berkurangan kepada 110 orang daripada 35 keluarga petang ini berbanding 143 orang membabitkan 38 keluarga pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, mangsa dari daerah Seberang Perai Tengah itu ditempatkan di Tadika Kemas Kampung Manggis dan Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Suboh.

Di Sarawak, Sekolah Kebangsaan (SK) RC Kubong, Limbang terpaksa ditutup berikutan kawasan sekolah itu dinaiki air sedalam 0.91 meter akibat hujan lebat pagi tadi, membabitkan 142 murid, 11 guru dan tiga kakitangan pentadbiran.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, pedalaman Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Bintulu dan Miri akan mengalami ribut petir di satu dua tempat esok.

Semua negeri di Semenanjung dan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak turut diramal mengalami ribut petir pada petang.

Monsun Timur Laut dijangka bermula esok sehingga Mac 2020 dan ia akan menyebabkan empat hingga enam episod hujan lebat dan jika berterusan untuk tempoh beberapa hari, boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan rendah dan kawasan kerap banjir.

MetMalaysia juga tidak menolak kemungkinan risiko banjir boleh menjadi lebih buruk jika hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 9:34 PM