RONNIE Liu. FOTO arkib NSTP
Fairuz Zaidan dan Amir Mamat
cnews@nstp.com.my


DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kenyataan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu bahawa Pakatan Harapan (PH) akan tetap berjaya tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hanyalah pandangan peribadi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, PH selama ini sentiasa berpegang dengan apa yang dijanjikan secara bersama termasuk dalam soal permuafakatan dan jalinan kerjasama rakan komponen.

“Saya senada dengan Ahli Parlimen Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di mana kenyataan Ronnie Liu bersifat peribadi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Keselamatan Kenderaan 2019 dan Majlis Pelancaran Pelaksanaan Mewajibkan Penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Malaysia di Makmal Ujian Pelanggaran di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tiang Dua, Melaka, hari ini.

Beliau yang juga Presiden PH mengulas kenyataan Ronnie semalam yang antara lain berpandangan PH akan tetap berjaya walaupun tanpa BERSATU, selain mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan kuasa prerogatifnya membawa PH menyimpang daripada nilai aspirasi asalnya.

Susulan itu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya dilaporkan berkata, DAP perlu menyatakan sama ada mereka bersetuju atau berbeza pendirian dengan kenyataan Ronnie yang disifatkan sebagai kurang bijak.

Pendapat sama turut disuarakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan kenyataan Ronnie sebagai biadap serta tidak menghormati keharmonian di antara parti dalam PH.

Kenyataan lantang Ronnie itu turut mendapat reaksi Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, yang mahu merujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek berkenaan ke Jawatankuasa Disiplin parti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 9:23 PM