Antara kambing curi di ladang ternakan di Kubang Semang, Bukit Mertajam yang berjaya ditemui semula selepas empat suspek ditahan polis. Foto Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


LAPAN individu berpakat mencuri 52 ekor kambing bernilai kira-kira RM50,000 dalam kejadian samun di kandang kambing di Kubang Semang, Bukit Mertajam pada Sabtu lalu.

Kesemua ternakan itu kemudiannya dipercayai dijual kepada seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga peniaga daging di Pasar Kulim, Kedah.

Peniaga berkenaan juga dikatakan sempat menyembelih 42 ekor kambing terbabit dan menjual dagingnya dengan memperoleh hasil jualan dianggarkan mencecah RM30,000.

Kejadian itu hanya disedari pemilik ternakan pada 1.20 pagi Ahad selepas dimaklumkan penduduk sebelum dia bergegas ke lokasi dan mendapati empat pekerjanya yang juga warga Myanmar diikat, manakala kambingnya hilang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, empat suspek berjaya ditahan dalam dua serbuan pada semalam dan hari ini di Butterworth dan Padang Serai, Kedah susulan daripada laporan dibuat pemilik ladang ternakan terbabit.

Menurutnya, suspek pertama berusia 23 tahun ditahan di tepi jalan kawasan Pantai Bersih, Butterworth pada 11 malam dan susulan itu dua lagi lelaki berusia 24 tahun dan 26 tahun di kawasan sama.

“Bertindak daripada maklumat diberikan, kita berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 61 tahun dalam serbuan di Padang Serai, Kedah.

“Siasatan lanjut mendapati semua suspek mengaku merancang dan melakukan samun di kandang kambing berkenaan dan mereka juga mempunyai peranan masing-masing dalam kegiatan itu,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, suspek berusia 61 tahun dikenali sebagai ‘Din Ninja’ dikesan bertindak sebagai perancang dan sudah membuat perjanjian menjual kambing disamun itu kepada suspek ketiga yang juga peniaga daging kambing.

“Peniaga itu berjanji akan membayar kepada Din Ninja sehingga RM20,000 selepas menjual semua daging kambing berkenaan.

“Peniaga berkenaan juga sudah membayar deposit sebanyak RM4,000 kepada Din Ninja dan dia dikesan menjual daging kambing berkenaan di Pasar Kulim sehari selepas kejadian samun itu.

“Suspek pertama pula diarahkan supaya menyewa sebuah pacuan empat roda selama tiga hari dengan kadar sewa RM500 sehari kerana hanya dia memiliki Lesen Pengangkutan Barang (GDL),” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek kini direman sehingga Selasa minggu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis turut merampas pacuan empat roda yang dipercayai digunakan kumpulan itu, 10 ekor kambing, tiga telefon bimbit, kunci kenderaan dan wang tunai berjumlah RM700.

“Kita juga masih memburu empat lagi suspek yang kini masih bebas dan semua mereka dipercayai turut melakukan samun di kandang kambing itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 8:00 PM