Pasukan perubatan melakukan bantuan pernafasan kecemasan kepada Shaffiee sebelum dibawa ke HPP. FOTO Danial Saad
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS), maut selepas diserang sakit jantung ketika melakukan simulasi latihan kecemasan berskala penuh EX Harimau Kumbang 2019 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hari ini.

Dalam kejadian itu, Shaffiee Hasan, 59, disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik tiba Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 11.13 pagi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, sebelum itu, anggota AFRS terbabit bersama pasukannya sedang melakukan tugas menyelamat dalam latihan simulasi 10.15 pagi.

“Mangsa mengadu dia letih dan diminta berehat terlebih dulu oleh rakan setugas.

“Dia bersama dua anggota AFRS kemudian menaiki jentera yang membawanya ke tempat rehat namun mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri ketika turun daripada jentera itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anbalagan berkata, pasukan perubatan yang menyertai latihan simulasi itu memberikan rawatan awal namun mangsa masih tidak sedarkan diri dan dibawa ke HPP.

“Mangsa yang sudah 20 tahun bekerja sebagai anggota AFRS disahkan meninggal dunia oleh doktor.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Kumbar selepas Isyak malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 7:57 PM