SEORANG lelaki tidak sempat berjumpa doktor mendapatkan rawatan sebelum rebah dan jatuh di dalam longkang. FOTO Ihsan Pembaca
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


TIDAK sempat jumpa doktor mendapatkan rawatan sebelum rebah dan jatuh di dalam longkang.

Itu ajal seorang lelaki apabila tubuhnya ditemui di dalam longkang di hadapan pejabat pentadbiran Hospital Jengka di Maran, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, Amran Othman, 52, dikatakan berjalan berseorangan untuk menemui doktor bagi mendapatkan rawatan sebelum rebah secara mengejut dan jatuh di dalam longkang.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, mangsa ditemui dalam keadaan mengiring tidak sedarkan diri sebelum orang ramai yang menjumpainya menghubungi pihak berkuasa.

“Pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayat dibawa ke bahagian patologi untuk bedah siasat.

“Hasil pemeriksaan ke atas fizikal mangsa tidak menjumpai sebarang kesan meragukan atau unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norzamri berkata, berdasarkan keterangan isteri mangsa, suaminya mempunyai komplikasi pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung serta sentiasa mendapatkan rawatan di hospital.

Beliau berkata, berdasarkan laporan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 7:51 PM