Pejalan kaki maut selepas dihempap pokok tumbang di pintu masuk UM. FOTO Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


PEJALAN kaki wanita maut selepas dihempap pokok tumbang ketika hujan lebat di pintu masuk Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 5.31 petang.

“Lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai serta BBP Seputih dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati wanita berusia 20-an dihempap sebatang pokok di pintu masuk utama UM.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya dalam kenyataan hari ini.


Antara kenderaan yang rosak selepas dihempap pokok tumbang di pintu masuk UM. FOTO Ihsan JBPM

Katanya, kejadian itu juga mengakibatkan tiga kereta iaitu Proton Saga BLM, Toyota Vios dan Perodua Myvi yang diletakkan di kawasan berhampiran turut rosak dihempap pokok berkenaan.

“Setakat ini, identiti mangsa belum dikenal pasti dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 7:50 PM