Fairuz Zaidan dan Amir Mamat

BERMULA 1 Januari tahun depan, kerajaan akan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) di dalam kenderaan bagi menyelamatkan mereka daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah baharu itu susulan statistik yang membimbangkan apabila 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017.

“Kita kehilangan satu nyawa setiap 84 minit akibat nahas jalan raya. Kanak-kanak adalah golongan yang turut sama berada di atas jalan raya dan mereka juga terdedah kepada risiko yang tinggi terhadap kecederaan sekiranya terbabit di dalam nahas jalan raya.

“’Child Restraint System’ atau disebut sebagai kerusi keselamatan kanak-kanak adalah kerusi direka khas yang berfungsi untuk melindungi kanak-kanak di dalam kenderaan semasa berlakunya pelanggaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Minggu Keselamatan Kenderaan 2019 dan Majlis Pelancaran Pelaksanaan Mewajibkan Penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Malaysia di Makmal Ujian Pelanggaran di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tiang Dua, Melaka, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Adly Zahari dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Dr Wan Azizah berkata, penggunaan CRS dalam kalangan negara maju adalah tidak asing bagi mengurangkan impak pelanggaran kepada penumpang kanak-kanak dan seterusnya mengelakkan kecederaan parah dan kematian.

“Kerusi keselamatan kanak-kanak yang akan digunakan di Malaysia perlu mengikut standard yang ditetapkan oleh United Nation Regulation, iaitu R44 dan

R129.

“Langkah ini adalah sangat bertepatan dengan visi untuk mengurangkan kadar kematian dan kecederaan serius dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 7:23 PM
KERUSI keselamatan kanak-kanak diwajibkan mulai 1 Januari 2020