Nor Aliya Batrisha (kiri) lemas bersama Nor Aliya Natasha dalam parit berhampiran rumah mereka. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


“SAYA sangka anak-anak tidur rumah tok (nenek) mereka sebab sebelum ini mereka kerap tidur di sana tak sangka kedua-duanya lemas,” kata Mohamad Ali Mohamad Rashid, 28.

Dalam kejadian 11.30 pagi hari ini, anaknya Nor Aliya Batrisha, 8, dan anak tirinya Nor Aliya Natasha Abdullah, 11, ditemui lemas dalam parit berhampiran rumahnya di Kampung Parit Simpang Empat, Alor Pongsu, Bagan Serai.

Menurutnya, sebelum pergi bekerja, dia tergerak hati bertanyakan ibunya, Jaliah Osman, 50, mengenai dua beradik itu yang disangka tidur di rumah nenek mereka.

“Petang semalam selepas ambil mereka dari Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu, saya terus pergi kerja dan hanya pulang sebelah malam.

“Tiba di rumah saya dapati mereka berdua tiada dan saya sangka mereka tidur di rumah ibu tidak jauh dari sini.

“Sebelum ini memang mereka kerap tidur di sana tanpa memaklumkan pada saya dan isteri,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Parit Buntar hari ini.


Parit berhampiran rumah dua beradik yang ditemui lemas di Alor Pongsu hari ini. FOTO Ihsan Bomba

Menurutnya, ibunya memaklumkan dua beradik itu tiada di rumah berkenaan menyebabkan dia mula panik dan bimbangkan keselamatan mereka.

“Tidak lama kemudian isteri, Siti Solehah Azmi, 27, menjerit dan menangis memaklumkan anak kedua kami Nor Aliya Batrisha, ditemui terapung di parit berhampiran rumah.

“Saya terus berlari ke lokasi yang hanya kira-kira 15 meter dari rumah kami,” katanya.

Mohamad Ali berkata, selepas mayat Nor Aliya Batrisha dibawa naik, mayat Nor Aliya Natasha pula ditemui pasukan bomba dan penduduk yang menjalankan operasi mencari di kawasan itu.

“Mungkin salah seorang daripada mereka tergelincir dalam parit itu dan seorang lagi cuba menyelamatkan sebelum turut terjatuh dan lemas,” katanya sayu.


Mohamad Ali (dua kanan) dan Siti Solehah di Unit Forensik Hospital Parit Buntar. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Siti Solehah pula berkata, dua hari sebelum kejadian Nor Aliya Natasha ada memintanya membelikan telekung baru dan dia terkilan tidak sempat menunaikannya.

“Saya tak sangka itu petanda dia dan adiknya pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, tragedi yang menimpa keluarga itu turut mendapat simpati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat yang turut hadir menziarah di Unit Forensik Hospital Parit Buntar.

Jenazah dua beradik itu akan disembahyangkan di Masjid Alor Pongsu dan dikebumikan dalam satu liang lahat di tanah perkuburan masjid berkenaan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 7:16 PM