FADHILAH (kiri) menyerahkan borang PERKESO kepada Munira (dua dari kiri) sambil diperhatikan Norhafizah ketika ditemui di Rumah Pangsa Pegaga, Taman Merdeka, Batu Berendam. FOTO RASUL AZLI SAMAD
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


“ALHAMDULILLAH, wang diterima ini akan dibahagikan sepenuhnya untuk kegunaan pendidikan ketiga-tiga anak arwah adik dan mungkin untuk melaksanakan badal haji buat arwah dan anak saudara,” kata Munira Bidin, 29, kakak dan ibu saudara kepada dua mangsa bunuh kerat lapan yang mayat mereka ditemui di Kampung Ladang, Krubong di Melaka, 10 Oktober lalu.

Menurutnya, walaupun Faedah Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) diterima tidak dapat mengembalikan nyawa adiknya, Norfazera Bidin, 27, dan anaknya yang juga anak saudaranya, Muhammad Iman Asraf, 11, ia sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan pendidikan tiga lagi anak arwah.

“Segala sumbangan dan faedah diterima akan kami kumpul dan simpan untuk keperluan pendidikan tiga lagi anak arwah adik berusia dua, tujuh dan sembilan tahun.

“Selebihnya, mungkin akan digunakan untuk melaksanakan badal haji buat arwah Baby (Norfazera) dan Abang Iman (Muhammad Iman),” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Rumah Pangsa Pegaga, Taman Merdeka, Batu Berendam, Melaka, hari ini.

Terdahulu, dia bersama ibunya, Fatimah Latiff, 60 dan kakaknya, Norhafizah, 33, menerima kunjungan Pengarah PERKESO negeri Fadhilah Hamil yang memaklumkan arwah Norfazera layak menerima faedah PERKESO.

Mengulas lanjut, Munira yang baru melangsungkan perkahwinan, Ahad lalu, berkata dia dan suami, Mohd Abdullah Jan Abd Rahman, 30, bersetuju menjadikan anak bongsu adiknya, Muhammad Fakhrul Izwan Mohd Azri, 2, sebagai anak angkat mereka.

“Sejak kecil, Muhammad Fakhrul Izwan memang rapat dengan saya dan Alhamdulillah bekas suami arwah adik juga memberi kebenaran itu.

“Saya akan melalui semua proses dan prosedur mengikut undang-undang dan menganggap Jebat (Muhammad Fakhrul Izwan) sebagai anugerah tidak ternilai daripada arwah adik sempena perkahwinan kami,” katanya menahan sebak.

Sementara itu, Fadhilah berkata, sebagai pencarum PERKESO, waris arwah Norfazera layak menerima pencen penakat sehingga semua anakya mencapai usia 21 tahun selain Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000.

“Semakan mendapati, arwah mencarum sejak bekerja pada 2009 dan jumlah carumannya cukup melayakkannya memperoleh faedah pencen penakat,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan bahagian badan yang ditemui dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian dan ditemui berselerakan di Kampung Ladang, Krubong adalah milik Norfazera dan Muhammad Iman.

Identiti mereka disahkan selepas pihaknya memperoleh keputusan rasmi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad tengah malam Isnin lalu di Tanah Perkuburan Islam Bertam-Malim.

Susulan kejadian, polis menahan lelaki warga Singapura yang juga suami mangsa, 12 Oktober lalu, kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kejam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 4:27 PM