MASJID Al Aqsa di Palestin. FOTO NSTP
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


YAYASAN MyAQSA (MyAQSA) akan menyerahkan satu laporan lengkap berhubung kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin kepada Pejabat Pendakwa Raya, Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Ketua Delegasi Khas MyAQSA, Lukman Sheriff Alias berkata, laporan lengkap berkenaan adalah hasil dapatan daripada delegasi khas seramai 10 orang yang dihantar ke Tebing Barat, Palestin pada awal bulan ini.

Menurutnya, delegasi khas terdiri daripada beberapa peguam, penterjemah bahasa dan kru media pergi ke kawasan penempatan Palestin yang sering berhadapan tindakan pencerobohan pihak Israel iaitu di Wadi Al-Hummus, Issawiyya dan At-Tur (Bukit Zaitun) yang mana kesemua tempat ini berada di dalam kawasan Baitulmaqdis.

“Pada masa ini, MyAQSA sedang menyiapkan satu laporan lengkap berkenaan dan kita sedang kumpulkan bukti diperolehi seterusnya diperincikan sebelum diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya.

“MyAQSA berkeyakinan dengan dapatan diperolehi oleh pihak kami termasuk dapatan lain yang pastinya sudah diperolehi oleh pihak Mahkamah Jenayah Antarabangsa, jadi pihak mahkamah sudah tidak mempunyai banyak pilihan melainkan mereka perlu pada kadar segera memulakan proses pendakwaan secara rasmi ke atas rejim Israel,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, Ketua Pegawai Eksekutif MyAQSA, Noorazman Mohd Samsuddin dan Peguam MyAQSA, Wan Rohimi Wan Daud.

DUTA Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali bersama Ketua Delegasi Yayasan MyAQSA, Lukman Sheriff Alias (dua kanan) ketika sidang media berhubung proses tuntutan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Israel di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Dalam pada itu, Lukman Sheriff yang juga seorang peguam berkata, delegasi yang dihantar ke Baitulmaqdis bagi mendapatkan dapatan berkenaan berada di sana selama tiga hari untuk bertemu mangsa, mengumpul bukti dan mengambil keterangan secara langsung mengenai aktiviti jenayah kemanusiaan dilakukan rejim Israel.

“Selama berada di sana, kami sempat bertemu dan menemuramah lebih 20 mangsa dan pemilik tanah Palestin yang sah yang mana rumah mereka dirobohkan oleh rejim Israel secara zalim.

“Keterangan mereka sudah diambil secara terperinci dan dirakamkan supaya bukti ini dapat dibawa untuk perhatian dan tindakan Pejabat Pendakwaraya, Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Delegasi Khas MyAQSA berpandangan, rejim Israel mengamalkan satu cara sistematik dan terancang untuk mengubah demografi kawasan yang didudukinya secara haram dengan cara salah.

“Pihak kami kini sedang dalam proses pengumpulan data lanjut untuk mengukuhkan kes jenayah ini terhadap Israel,” katanya.

Sementara itu, Walid berkata, beliau mewakili penduduk Palestin mengucapkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia terutama MyAQSA yang menjalankan inisiatif berkenaan bagi mengumpulkan bukti kekejaman Israel.

Katanya, MyAQSA satu-satunya pihak yang menjalankan usaha berkenaan dalam mengheret rejim Israel ke muka pengadilan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 2:22 PM