KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau dan memulihkan anggota militan warga Malaysia, Yazid Sufaat, sekiranya dia dibebaskan selepas tempoh penahanan mengikut Akta Pencegahan Keganasan (POTA) berakhir bulan hadapan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Yazid yang sudah menjalani proses hukuman akan dibebaskan selepas tamatnya proses itu dan polis tidak boleh menyekat kebebasannya.

Menurutnya, bagaimanapun, pihaknya tidak dapat mengelak untuk mengambil tindakan sekiranya Yazid didapati kembali kepada pegangan asalnya dan mengancam keselamatan negara.

“Kita tidak boleh menyekat kebebasannya, namun kita akan terus berhubung dengannya dan pantau, kita juga akan teruskan usaha pemulihan dan lihat perkembangan seterusnya nanti apabila dibebaskan.

“Pihak saya tidak akan berputus asa berusaha untuk memulihkannya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas 69 Komando di Padang Kawad Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di Ipoh, hari ini.

Menurut Abdul Hamid, PDRM memahami kebimbangan orang ramai terhadap Yazid, namun pihaknya tidak boleh menahan seseorang yang sudah menjalani tempoh penahanan tanpa sebarang kesalahan dilakukan.

Yazid, 55, dikatakan mempunyai kaitan langsung dengan serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat dan sebagai ahli biokimia yang mendapat latihan di AS, lelaki itu disifatkan sebagai pengganas tegar.

Dia kini ditahan di penjara Simpang Renggam, Kluang, selama dua tahun di bawah POTA yang mana akta berkenaan membenarkan dia ditahan tanpa dibicarakan selama dua tahun.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, Lembaga Pencegahan Terorisme akan bersidang dalam masa terdekat sebelum membuat keputusan berhubung pembebasan Yazid.

Sementara itu, mengulas mengenai pemohonan habeas corpus yang difailkan lima individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Melaka dan Negeri Sembilan yang ditahan berkaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) esok, Abdul Hamid berkata, kesemua individu berkenaan mempunyai hak untuk berbuat demikian.

“Mereka ada hak, semua orang ada hak di sisi undang-undang, perlembagaan itu memberikan jaminan kalau mereka ditahan sekiranya tidak berpuas hati dan mengatakan mereka teraniaya, mereka boleh failkan habeas corpus.

“Sebab itu semasa awal mereka ditahan, kita segerakan mereka diberikan akses kepada khidmat peguam, (habes corpus) sudah difailkan, kita akan dengar hujah peguam dalam mahkamah nanti dan pihak saya akan membentangkan hujah dan alasan kenapa mereka ditahan,” katanya.

Berita berkaitan

Pembebasan Yazid Sufaat: Tunggu Lembaga bersidang - Muhyiddin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 1:37 PM