SIDANG Dewan Rakyat, di Bangunan Parlimen. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


“JURURAWAT stress (tekanan)...doktor pakar stress, cikgu stress...kakitangan kerajaan stress...malah, Ahli Parlimen pun stress,” kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Bon Chai.

Kenyataan itu menggamatkan Dewan Rakyat sebelum Ahli Parlimen masing-masing bangun meluahkan punca mereka berdepan tekanan.

Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said memaklumkan beliau tertekan kerana tidak dapat peluang bertanyakan soalan tambahan.

“Ahli Parlimen tertekan kerana tidak dapat tanya soalan tambahan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut meluahkan perasaannya apabila kerap tertekan kerana ‘diganggu’ oleh Ahli Parlimen Jelutung, RSN Rayer.

“Saya stress Jelutong kacau,” katanya sebelum disambut gelak tawa ahli dewan.

Selepas itu, Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias turut bangun dan cuba mengemukakan soalan lisan tambahan kepada Dr Boon Chai namun, ditolak oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

“Macam speaker suruh saya stress je pagi-pagi ni,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer mengemukakan soalan lisan mengenai langkah-langkah diambil Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan kejadian bunuh diri yang semakin meningkat di negara ini.

Menjawab soalan lisan itu, Dr Boon Chai berkata, kementerian kini komited melaksanakan tindakan dalam pencegahan masalah kesihatan mental dan mengurangkan kejadian bunuh diri.

Menurutnya, isu bunuh diri bukan sahaja disebabkan penyakit mental sebaliknya mangsa juga mengalami tekanan perasaan dan kemurungan.

“Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2017 mendapati bahawa tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berumur antara 13 hingga 17 tahun menunjukkan peningkatan.

“Berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 356 kes bunuh diri dilaporkan sejak 2014 hingga Jun tahun ini.

“Kematian paling tinggi dilaporkan membabitka kaum cina (147 kes), India (76 kes), Melayu (47 kes), kaum lain-lain (17 kes) dan bukan warganegara (69 kes),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 1:13 PM