GAMBAR hiasan
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


PEGAWAI polis berpangkat Asisten Superintendan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap doktor di tepi Jalan Leboh 4 Kampung Simee, Ipoh, Januari lalu.

Tertuduh Khairul Nizam Ismail, 49, yang bertugas sebagai Ketua Balai Polis Sungai Senam, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Dr Gurvinder Singh Sandhu Gurmukh Singh, 34, pada 5.45 petang 14 Januari lalu.

Dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan mengetahui bahawa kekerasan itu akan menyebabkan atau kegusaran kepada individu terbabit dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 350 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 352 akta sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan dihadapan Majistret Nabihah Mohd Noor, manakala tertuduh diwakili peguam Tun Mohamad Ammar Aziz.

Khairul Nizam bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah dan minta dibicarakan.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh sementara tertuduh memohon dikenakan jaminan ringan kerana mempunyai tangunggan lapan anak serta sudah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 29 tahun.

Nabihah kemudian mengenakan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 November ini sebagai sebutan semula kes berkenaan.

Jika sabit kesalahan Khairul Nizam boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Harian Metro pada 18 Januari lalu melaporkan pegawai polis yang berkhidmat sebagai ketua sebuah balai polis di Ipoh, Perak kini disiasat atas dakwaan melakukan ugutan jenayah terhadap suami isteri di Kampung Simee.

Pegawai polis itu didakwa mencekak leher baju lelaki.

Malah, dia juga didakwa cuba memukul isteri lelaki terbabit yang juga seorang peguam dan kejadian itu dirakam mangsa menggunakan telefon bimbit.

Kejadian dikatakan berlaku ketika suami isteri berkenaan berjalan di kawasan taman perumahan di Kampung Simee sebelum secara kereta dipercayai dipandu secara berbahaya hingga hampir melanggar pasangan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 1:03 PM