FOTO hiasan
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


LEMBAGA Zakat Negeri Kedah (LZNK) sudah memperuntukkan RM12 juta bagi melaksanakan program Bank Makanan yang disasarkan bagi membantu golongan fakir miskin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, setakat ini terdapat 575 masjid dijadikan pusat pengumpulan dan pengagihan makanan kepada golongan sasar.

Katanya, Kedah adalah negeri pertama di negara ini melaksanakan program Bank Makanan khusus kepada golongan fakir miskin bermula tahun lalu dan diteruskan tahun ini.

“Program Bank Makanan adalah salah satu inisiatif LZNK bersama masjid di seluruh negeri, di mana kita meletakkan bekalan makanan asas secara berkala di masjid di semua daerah bagi memudahkan penerima mengambilnya.

“Antara bekalan diberikan adalah gula, tepung, beras dan minyak masak. Semua makanan asas ini diuruskan imam masjid mengikut tatacara ditetapkan LZNK,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darulaman, Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Suraya Yaacob (BN-Sungai Tiang) yang meminta jumlah peruntukan dibelanjakan LZNK bagi membantu asnaf, melaksanakan program Bank Makanan dan jumlah pusat Bank Makanan.

Dr Ismail berkata, pelbagai manfaat diterima hasil kerjasama antara LZNK dan masjid termasuk memudahkan penerima mengambil makanan di pusat agihan berdekatan rumah mereka tanpa perlu ke Pejabat Cawangan LZNK.

Katanya, kaedah ini membolehkan LZNK tidak perlu menyediakan kawasan penyimpanan makanan dan imam masjid dapat mengenalpasti kelayakan penerima secara berkala.

Mengulas mengenai jumlah asnaf yang menerima bantuan bulanan LZNK sehingga Oktober ini, beliau menjelaskan terdapat 15,406 menerima bantuan berjumlah RM66.6 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 12:55 PM