KEADAAN mangsa yang maut dengan kesan kecederaan di kepala. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni
am@hmetro.com.my


HARI pertama bekerja sebagai jurukimpal bertukar tragedi bagi seorang lelaki apabila ditemui maut di Jalan Kampung Rebak, Asajaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samaharan, Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, mangsa dikenali sebagai Ngan Boon Kong, 44, berasal dari Ulu Kinta, Perak.

“Mayat mangsa ditemui rakan sekerja jam 1.03 tengah hari dalam keadaan tertiarap di pondok pengawal keselamatan.

“Rakan mangsa kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lee berkata, pemeriksaan mendapati ada kesan cedera di kepala mangsa berkemungkinan selepas rebah dan terhantuk ke lantai konkrit.

“Siasatan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi tidak menemui sebarang kesan pergelutan dan senjata.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperolehi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 12:36 PM