Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


“TIADA apa yang dapat dilakukan selain melihat bumbung rumah ‘dicabut’ ribut kencang sebelum terbang satu persatu ke langit,” ujar penduduk Kampung Parit Haji Ibrahim, Simpang Lima di sini, Jamilah Nasir, 58.

Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, sebanyak 20 rumah rosak teruk manakala lebih 100 pokok tumbang di daerah ini susulan kejadian ribut kencang yang berlaku mendadak.

Kejadian ribut menyebabkan kawasan sekitar Bagan, Simpang Lima, Sungai Ayam, Peserai dan Jalan Tanjung Labuh di sini, mengalami kesan kerosakan serius.

Jamilah berkata, kejadian berlaku ketika dia dan suaminya, Ahmad Donan, 74, sedang berehat di rumah sebelum cuaca tiba-tiba bertukar gelap.

“Hujan lebat disusuli angin kencang muncul sebelum membadai kawasan sekitar kampung ini.

“Sekelip mata beberapa keping atap rumah kami diterbangkan angin sehingga mengakibatkan bahagian ruang tamu dimasuki air hujan. Tiada apa yang dapat dilakukan ketika itu kecuali berdoa ribut akan reda,” katanya.

Sementara itu sekretariat Bencana Daerah Batu Pahat berkata, kejadian ribut itu turut menyebabkan kejadian beratus pokok tumbang di daerah ini.

“Jumlah rumah yang terjejas masih dalam penilaian, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.


ANGGOTA APM bertungkus-lumus memotong pokok yang menghalang laluan.

Susulan kejadian itu Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta kakitangan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bertungkus lumus melakukan tugas pembersihan dan menebang pokok tumbang yang menghalang laluan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Semerah Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata pihaknya kini dalam usaha untuk membantu keluarga yang terjejas terutamanya di sekitar Bagan, Simpang Lima dan Peserai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:20 AM