Gambar hiasan
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


KERAJAAN berharap Solvent Extractors Association (SEA) India tidak mengambil keputusan terburu-buru menggesa ahli mereka menghentikan pengimportan minyak sawit dari Malaysia.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, sebaliknya mereka perlu memberi ruang kepada kerajaan Malaysia dan India menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya merujuk kepada nasihat perdagangan yang dikeluarkan SEA India dan mengambil kira sehingga keputusan yang jelas diperoleh antara kedua-dua negara berhubung isu minyak sawit serta perkara berkaitan.

“Kerajaan memandang serius perkembangan ini dan mengambil kira hubungan baik antara Malaysia dan India sudah lama terjalin.

“Kementerian sentiasa menjalin hubungan kerja yang baik dengan pihak SEA India untuk pelbagai minyak sayuran di India.

“Bagi pihak SEA India, minyak sawit terutama dari Malaysia adalah bahan mentah utama yang memberikan pulangan menguntungkan kepada ahlinya dalam industri penapisan di seluruh India,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, kementerian memahami sentimen SEA India dengan import minyak sawit Malaysia.

“Bagaimanapun, kita berpandangan pendekatan SEA India akan menyebabkan kerjasama dan hubungan kerja yang lama terjalin terbantut.

“Saya menyeru SEA India supaya tidak mengambil keputusan secara sebelah pihak, sebaliknya beri ruang kepada kerajaan masing-masing menyelesaikan perkara ini.

“Kerjasama yang berterusan antara SEA India dan industri minyak sawit Malaysia juga penting selain bertindak sebagai pengantara untuk menggalakkan hubungan baik kedua-dua negara,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua pihak seharusnya bekerjasama bagi manfaat jangka masa panjang demi kepentingan semua pihak dalam industri minyak sayuran.

“Malaysia dan India mempunyai pertalian sejarah dan budaya, selain hubungan diplomatik serta perdagangan yang baik.

“Malaysia sentiasa memandang India sebagai rakan dagangan yang strategik dan penting.

“India sentiasa dijadikan sebagai penanda aras dalam inovasi teknologi terutama dalam pemprosesan minyak sawit.

“Saya mengiktiraf peranan penting yang dimainkan penggiat industri India semasa peringkat permulaan pembangunan industri penapisan di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, selain minyak sawit, perdagangan Malaysia dan India juga merangkumi industri minyak dan gas, automotif, produk kimia, elektrik dan elektronik, makanan dan produk keluaran siap yang lain.

Katanya, jumlah perdagangan Malaysia dan India meningkat sebanyak 2.2 peratus kepada RM62.76 bilion pada tahun lalu berbanding RM61.38 bilion pada 2017.

“Pada masa sama, Malaysia sedang meneroka pelbagai saluran untuk meningkatkan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 11:07 PM