Demonstrasi Latihamal PDRM meleraikan tunjuk perasaan. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki
am@hmetro.com.my


SERAMAI 1,700 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyertai Program Latihamal Pilihan Raya Kecil (PRK) 165 Tanjung Piai di Dataran Majlis Daerah Pontian (MDP), Pontian hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata, latihamal itu bagi menguji sebarang kemungkinan sempena PRK Tanjung Piai 16 November ini.

Menurutnya, latihamal itu membabitkan anggota Unit Tindakan Rusuhan, Unit Tempur Ringan serta anggota Pasukan Polis Simpanan.

“Mereka (anggota polis) dari pelbagai unit yang akan melaksanakan tugasan keamanan ketika penamaan calon, pengiraan undi dan keputusan undi diumumkan kelak.

“Untuk makluman, polis akan membahagikan zon ‘kawasan penyokong’ ketika hari penamaan calon dan diasingkan dengan jarak mengikut kesesuaian,” katanya.


Demonstrasi tunjuk perasaan menjelang PRK Tanjung Piai. FOTO Togi Marzuki

Kamarudin berkata, orang ramai terutama pengundi dan penyokong tidak perlu bimbang mengenai keselamatan kerana PDRM sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Melalui latihamal kira-kira dua jam itu, saya dapati kami bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Apa pun saya harap semua pihak termasuk masyarakat mematuhi undang-undang bagi melahirkan suasana harmoni ketika menunaikan tanggungjawab membuang undi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 9:08 PM