NARRESH berbual bersaama rakan setugas selepas menerima pingat PBP. FOTO Ihsan APM
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KEBERANIAN sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) R Narresh, 30, membantu anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sebelum ini, mendapat penghargaan Pingat Bakti Pertahanan Awam (PBP), semalam.

Anugerah pingat itu disampaikan Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab pada Perhimpunan Bulanan APM di ibu pejabat APM di Sungai Merab, Selangor, semalam.

Narresh diberi Anugerah Pingat Bakti Pertahanan Awam itu selepas mengharumkan nama APM, selain nama beliau disanjung dan mendapat pujian masyarakat.

Dalam insiden serangan terhadap Muhammad Adib ketika rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, November lalu, Narresh menemani dan mengelap tubuh Adib di tempat duduk belakang kereta yang dipandu ke wad kecemasan Subang Jaya Medical Centre.

Sebaik sampai ke hospital itu, dia menjerit dan meminta bantuan kecemasan segera diberikan terhadap Adib yang ketika itu dalam keadaan nazak.

Malah, beliau sanggup menerima cacian segelintir pihak selepas menjadi saksi kesembilan inkues kematian Muhammad Adib di mahkamah sebelum ini.


NARRESH menerima anugerah disampaikan Roslan atas jasanya menyelamatkan Allahyarham Adib. FOTO Ihsan APM

Narresh yang ditemui pada majlis penganugerahan bintang itu berkata, menyatakan rasa terharu dan gembira atas pengiktirafan dan anugerah diberikan APM kepadanya.

“Saya berasa terharu kerana diberi penghargaan oleh APM, walaupun sebenarnya saya tidak mengharapkan apa-apa balasan.

“Saya menolong arwah Adib atas sifat tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang suka membantu walau dalam apa jua keadaan,” katanya.

Pada majlis sama, seramai lima pegawai APM terima watikah pelantikan sebagai pegawai waran bagi memantapkan disiplin setiap anggota APM dari segi kawad kaki, pemakaian seragam dan istiadat di dalam APM.

Seramai 14 pemandu tetap APM yang banyak memberi perkhidmatan cemerlang ketika operasi bencana dan tugasan biasa turut menerima sijil kepujian.

Selain itu sebanyak empat pacuan roda model Toyota Hilux diserahkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Jabatan Perdana Menteri, Roziah Abudin bagi memantapkan gerak kerja pengurusan operasi bencana dan kecemasan APM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 9:03 PM