Icha akan menjalani pembedahan di HKL esok. FOTO Ihsan Pembaca
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


BAYI perempuan yang menghidap penyakit cystic hygroma iaitu gejala abnormal pada leher atau kepala bayi akan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) esok.

Nur Falisya Mardina Fahme Ridzuan atau nama manjanya Icha berusia 21 bulan akan menjalani pembedahan untuk membuang cecair yang menyebabkan lehernya membesar sejak lahir.

Ibu bayi itu, Nur Atekah Mohd Yusof, 23, berkata, perasaannya bercampur baur selepas doktor mengesahkan Icha akan menjalani pembedahan 10 pagi esok.

Menurutnya, dia dimaklumkan pembedahan itu mengambil masa antara lima hingga enam jam atau lebih.

“Icha akan mula berpuasa pada 5 pagi dan saya akui berdebar-debar menanti esok kerana memikirkan pembedahan yang berisiko dan mengambil masa lama.

“Bagaimanapun demi kesihatan Icha kami kuatkan semangat, reda, terima apa saja kemungkinan dan mengharapkan pembedahan esok berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, Icha dimasukkan ke wad di HKL semalam dan ketika ini anaknya itu berada dalam keadaan baik namun sedikit batuk serta selesema.

“Icha aktif seperti selalu cuma malam saja dia merengek sedikit kerana mahukan ayahnya, dia sangat rapat dengan suami (Fahme Ridzuan Zulqarnil, 28).

“Malam ini ada beberapa masjid seperti di Puchong, Selangor akan mengadakan solat hajat untuk Icha dan kami juga mohon bantuan orang ramai supaya mendoakan pembedahan esok lancar,” katanya yang memaklumkan suaminya mengambil cuti untuk menemani mereka.

Harian Metro 15 Oktober lalu melaporkan leher kiri Icha membesar dan mengandungi cecair atau air bisa dalam badan yang sepatutnya keluar melalui najis namun berkumpul di leher.

Berita berkaitan

Terima kasih doakan Icha...

'Buu, akit...'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 8:07 PM