Keadaan di Dewan Rakyat pada 17 Oktober lalu. Foto Shahril Badri Saali
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


BAGI memastikan isu tidak cukup ‘korum’ berulang, kerajaan akan mengeluarkan jadual khas dan peraturan kepada ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, pihaknya juga akan memantau prestasi ahli Parlimen PH serta mencatat kehadiran mereka sebelum laporan diserahkan kepada setiap Ketua Whip parti komponen PH dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Peraturan dan jadual itu akan mula diedarkan kepada ahli Parlimen bermula esok selepas dipersetujui semua Ketua Whip parti komponen PH.

“Saya sudah bertemu dengan Ketua Whip PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN), malah mereka turut memberi komen dan cadangan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, beliau juga sudah memaklumkan kepada semua ahli Parlimen berhubung peraturan kehadiran itu.

Ditanya mengenai tempoh jadual khas itu, Vui Keong berkata, jadual yang dicadang antara 10 pagi hingga 1 tengah hari, 12 tengah hari hingga 5.30 petang, 5.30 petang hingga 8 malam atau selepas waktu itu.

Sidang Dewan Rakyat pada 17 Oktober lalu terpaksa ditangguhkan selama 10 minit mulai 4.05 petang apabila jumlah ahli Parlimen yang tidak mengikut syarat ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 7:41 PM