LALUAN di Kilometer 15 Jalan Bagan Serai-Selama masih tidak dapat dilalui kenderaan ringan berikutan paras air yang naik melebihi 0.6 meter. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


MANGSA mangsa banjir dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Alor Pongsu, Bagan Serai, meningkat kepada 53 orang, hari ini.

Ia membabitkan pertambahan 23 mangsa dipindahkan dari Kampung Matang Tengah, berikutan kawasan kampung berkenaan dinaiki air.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, pihaknya menjangka akan berlakunya pertambahan mangsa berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Menurutnya, semua agensi membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam membantu mangsa banjir.

“Kilometer 15 hingga 16 Jalan Bagan Serai-Selama yang ditutup semalam untuk kenderaan ringan masih ditutup sehingga kini berikutan paras air naik sehingga 0.6 meter (m).

“JPS turut melepaskan air Tasik Bukit Merah ke dua alur limpah (utara dan selatan) berikutan paras air di tasik itu mencecah paras amaran.

“Dalam masa sama, empat pam bergerak turut ditempatkan di kawasan berlakunya banjir bagi mengurangkan risiko banjir,” katanya selepas mengadakan lawatan di lokasi banjir dan PPS di SK Changkat Lobak, hari ini.

Dalam lawatan itu, Abdul Yunus turut menyampaikan sumbangan tabung bencana daerah sebanyak RM300 kepada tujuh keluarga yang dipindahkan semalam manakala selebihnya akan diserahkan kemudian.

Sementara itu, selain PPS SK Changkant Lobak di daerah Bagan Serai, satu lagi pusat pemindahan masih dibuka adalah di Hilir Perak iaitu di SK Changkat Jong, Teluk Intan.

Sehingga jam 5 petang ini, seramai 233 orang membabitkan 63 keluarga masih ditempatkan di PPS SK Changkat Jong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 6:14 PM