KEADAAN Muhammad Zulhaikal yang sedang mendapatkan rawatan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


“ADIK ada mengadu kaki dia sakit tetapi dia tak tahu lagi yang kaki kanannya sudah tiada. Kami tak tahu macam mana nak bagi tahu kejadian itu,” kata Nur Nabilah Mohamed, 17, kakak kepada Muhammad Zulhaikal, 12, yang putus kaki kanan apabila motosikal diboncengnya terbabit kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran Kampung Tok Dor, Ajil, Hulu Terengganu, semalam.

Selain Muhammad Zulhaikal, bapa saudaranya, Samri Said, 52, turut patah kaki kanan manakala anak Samri, Nur Farahiya Najwa, 10, cedera dalam kemalangan jam 7.30 malam.

Nur Nabilah berkata, adiknya sudah menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan stabil namun belum mengetahui ketiadaan kakinya.

“Adik masuk ke dewan bedah dalam jam 3 pagi tadi dan keluar tiga jam kemudian. Keadaan dia stabil tetapi doktor bagi tahu yang kaki adik tidak dapat disambung.

“Tadi adik ada mengadu sakit tekak dan mahu buang kahak. Ketika itu, dia cakap sakit di kakinya menyebabkan saya dan ahli keluarga yang lain hanya mendiamkan diri.

“Buat masa ini, kami merahsiakan dulu perkara itu kerana bimbang keadaannya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini.

Nur Nabilah berkata, kejadian berlaku ketika adik, bapa saudara dan sepupunya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mereka (adik dan sepupu) menyertai rombongan sekolah ke Kuala Terengganu.

“Ketika kejadian, saya berada di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Landas dan sebaik menerima panggilan daripada ibu saudara, saya bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan mereka.

“Sebaik sampai, mereka baru saja dimasukkan ke dalam ambulans untuk dibawa ke Hospital Hulu Terengganu namun dipindahkan ke HSNZ malam tadi.

“Saya difahamkan, adik masih sedar selepas kemalangan itu malah ada minta air daripada saya kerana dahaga sebelum masuk ke dewan bedah,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Nur Nabilah berkata, dia meminta jasa baik semua pengguna laman sosial supaya menghentikan penyebaran gambar berserta video mengenai adiknya bagi menghormati perasaan mereka sekeluarga.

“Ada sesetengah cakap adik saya dah mati sedangkan dia masih ada. Tolong hormat perasaan kami dan hentikan berita yang tidak tepat.

“Mengenai keadaan pak cik, kaki kanannya juga hancur dan mungkin akan dipotong sementara anaknya yang cedera ringan sudah dibenarkan pulang semalam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Mohd Jusoh ketika dihubungi mengesahkan murid tahun enam itu sudah menjalani pembedahan pada jam 3 pagi tadi.

Katanya, keadaan mangsa stabil namun kakinya tidak dapat disambung kerana kecederaan yang teruk daripada sendi paha.

“Bapa saudara yang hancur kaki kanan juga berkemungkinan akan dipotong bagi menyelamatkan kakinya dan pembedahan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum itu, portal Harian Metro melaporkan murid tahun enam putus kaki kanan apabila motosikal dibonceng bersama bapa saudaranya bertembung dengan kereta.

Berita berkaitan

Video tular: JPJ Terengganu lapor polis

Murid putus kaki dalam kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 5:40 PM