Antara PATI yang ditahan dalam operasi imigresen di kilang memproses kelapa semalam. FOTO Ihsan JIM
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


KILANG memproses kelapa di Rengit, Batu Pahat diserbu Jabatan Imigresen kerana dipercayai menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, Ops Mahir yang dijalankan 11.45 pagi semalam itu diketuai Ketua Timbalan Penolong Pengarah (KTPP) Jabatan Imigresen Johor, Abdul Razak Atan serta dibantu 50 pegawai Imigresen.

“Dalam ops itu, kami menahan 50 PATI dari pelbagai negara. Tindakan diambil susulan aduan awam dan risikan dijalankan ke atas kilang terbabit kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja sah.

“Seramai 81 warga asing terdiri daripada pelbagai warganegara diperiksa dan hasil pemeriksaan kami menahan 50 daripada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, 50 orang yang ditahan itu membabitkan 30 lelaki dan 18 wanita Indonesia manakala baki dua suspek adalah lelaki warga Nepal selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Turut ditahan dalam Ops Mahir ini adalah seorang lelaki tempatan dipercayai majikan.

“Antara kesalahan yang dikesan dalam operasi ini termasuklah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah.

“Selain itu, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen iaitu tinggal lebih masa, Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Peraturan 17(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, majikan berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana disyaki memberi perlindungan kepada PATI di premisnya.

Katanya, semua warga asing dan tempatan itu ditahan di Bahagian Penguat kuasa Imigresen, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 5:34 PM