Salahuddin (enam dari kanan) bergambar bersama penerima anugerah selepas Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank 2019. FOTO Saifullizan Tamadi
Mohd Firdaus Ibrahim dan Sofyan Rizal Ishak
am@hmetro.com.my


PENGUATKUASAAN berterusan dan kapal induk diperlukan agensi penguatkuasaan maritim bagi mengekang pencerobohan nelayan asing terutama Vietnam di perairan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayob berkata, beliau sudah menyatakan pendiriannya dalam mesyuarat kabinet supaya Op Naga diteruskan.

“Saya tetap dan bertegas dalam kabinet supaya Op Naga diteruskan. Peralatan dan aset juga perlu ditambah baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Anugerah Agropreneur Agrobank 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

Salahuddin menegaskan, agensi penguatkuasaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) perlu dibekalkan kapal induk bagi menjaga perairan negara.

“Ketika menyaksikan kapal nelayan asing (dirampas) ditenggelamkan, saya akui kita perlukan kapal induk.

“Itu akan kita bawa kepada kabinet (untuk dibincangkan),” katanya.

Mengulas pembabitan orang dalam bersekongkol dengan sindiket, Salahuddin berkata, penguatkuasaan perlu dipergiatkan dengan penuh integriti.

“Ini supaya (penguatkuasaan) dapat dilaksanakan dengan sempurna, kurangkan ketirisan dan kurangkan amalan rasuah,” katanya.

Beliau berharap komuniti maritim seperti nelayan mampu menjadi mata dan telinga kerajaan dengan melaporkan pencerobohan.

“Saya juga lanjutkan isu ini kepada nelayan tempatan, patuhi syarat lesen.

“Peralatan tidak dibenarkan seperti bubu naga yang ancam sumber ikan harus diambil tindakan,” katanya.

Harian Metro Julai lalu dalam laporan bersirinya mendedahkan, pembabitan pemilik bot warga tempatan yang memberikan lesen bot mereka kepada nelayan Vietnam menghilangkan sehingga RM5 bilion setahun hasil negara.

Pendedahan itu menyebabkan Op Naga dilancarkan APMM bagi mengekang pencerobohan nelayan asing.

Berita berkaitan

Tiada kompromi isu nelayan asing

Jawatankuasa kaji hukuman ke atas nelayan asing

An Thuan buka rahsia [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 2:35 PM