ANGGOTA penyelamat melakukan pencarian dua lagi mangsa lemas di belakang Balai Polis Sik. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Rizal Abdullah dan Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah meminta pintu air di rumah pam di belakang Balai Polis Sik ditutup bagi menghentikan kelajuan air untuk memudahkan operasi pencarian dua lagi mangsa lemas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, setakat ini seorang mangsa dikenali sebagai Mohd Faris Iqbal Hafzal Nizam, 16, sudah ditemui.

Beliau berkata, mayat mangsa dihanyutkan air deras dan ditemui pada jarak kira-kira tiga kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).

“Operasi pencarian dimulakan sejak 8.30 pagi tadi sebelum mayat mangsa ditemui 10.11 pagi.

“Bagaimanapun operasi mencari dua lagi mangsa mengalami kesukaran akibat air deras yang boleh mengundang bahaya kepada anggota penyelamat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Jalan Suka Menanti, Alor Setar, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini seramai 15 anggota dari BBP Sik dan tujuh anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani sedang melakukan pencarian di lokasi.

Beliau berkata, setakat ini operasi mencari Mohd Naim Ahmad, 28, dan seorang lagi mangsa belum dikenal pasti sedang dilakukan.

“Risiko air deras boleh membahayakan anggota kerana mungkin ada putaran di bawah dan bimbang kejadian sama berlaku di mana enam anggota PPDA lemas di Selangor tahun lalu.

“Sekiranya paras air berkurangan, baru kita benarkan anggota melakukan selaman,” katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, air deras berlaku berikutan hujan lebat malam tadi.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan tidak berada di kawasan itu termasuk mengarahkan anggota menutup lokasi itu bagi mengelak sebarang kemungkinan.

“Sekarang ini operasi sedang dilakukan untuk mencari dua mangsa berkenaan membabitkan pelbagai agensi penyelamat polis,” katanya.

Terdahulu, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sik untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

Dua dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 12:37 PM