FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


PIHAK pendakwaan dalam kes syarikat Goldman Sachs Group Inc yang menghadapi tuduhan jenayah berhubung terbitan bon bernilai US$6.5 bilion (RM27.19 bilion) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan permohonan supaya kes itu difailkan ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun memaklumkan perkara itu pada prosiding sebutan kes berkenaan di hadapan Mohamad Fared Abdul Latif di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Norinna berkata, sebutan kali pertama di Mahkamah Tinggi ditetapkan pada Khamis ini.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Goldman Sachs, tidak membantah permohonan untuk memindahkan kes itu.

Mohamad Fared kemudian menetapkan 16 Disember ini sebutan semula kes dihadapannya untuk perkembangan lanjut mengenai permohonan itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Aaron Chelliah ketika ditemui media berkata, permohonan untuk memindahkan kes itu dibuat pada Jumaat lalu.

Pada 19 Disember 2018, pendakwaan menfailkan empat pertuduhan ke atas Goldman Sachs dan didakwa telah meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak-anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments PJS Limited (Aabar Limited).

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013 di 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Menara IMC, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.

Pertuduhan mengikut subseksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang boleh dihukum di mengikut 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pada 19 Disember tahun lalu, bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa ,46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan memainkan peranan dalam pengeluaran bon berkaitan 1MDB.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggarkan sekitar US$4.5 bilion (RM18.82 bilion) diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014, termasuk sebahagian dana yang dibantu oleh Goldman Sachs.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 12:31 PM