DR Mahathir menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


KERAJAAN akui berdepan cabaran khususnya dalam melindungi kebajikan pekerja yang terbabit dalam ekonomi gig berikutan hubungan pekerja dan majikan yang kurang jelas.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedar akan implikasi ekonomi gig ini terhadap ekonomi tradisional serta perlindungan hak pekerja.

“Justeru, kerajaan mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Khas dianggotai Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi merangka penyelesaian jangka panjang isu berkaitan ekonomi gig.

“Selain itu, KSM akan menjalankan kajian terperinci dari segi takrifan perundangan berhubung terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan dalam industri kategori economi gig selaras dengan perubahan trend ekonomi di bawah perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0),” katanya ketika menjawan soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kerajaan juga akan melaksanakan peraturan kawal selia teknologi oleh semua badan regulatori termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai langkah memenuhi trend masa hadapan dalam menggalakkan aktiviti berkaitan teknologi baharu.

Dr Mahathir berkata, kerajaan turut melihat ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu, mampan dan inklusif dalam merangka Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025.

Ketika menjawab soalan tambahan berhubung ekonomi gig, Dr Mahathir juga memaklumkan kerajaan pada dasarnya prihatin dengan nasib pekerja dalam ekonomi gig samada mereka terlindung atau tidak dari segi kebajikan.

Justeru, katanya, perlu ada peraturan untuk melindungi hak pekerja berkenaan.

“Sistem ekonomi gig memberi peluang kepada rakyat untuk mencari pendapatan halal.

“Kita tidak dapat hentikan sistem ini kerana ia beri peluang tambah pendapatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 11:40 AM