SUSPEK lelaki cedera selepas terjun dari tingkat tiga Kompleks Mahkamah Johor Bahru dalam cubaan meloloskan diri. FOTO Facebook Komuniti Roda Johor - CRJ
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


TINDAKAN suspek lelaki cuba meloloskan diri dengan terjun dari tingkat tiga Kompleks Mahkamah Johor Bahru, semalam membawa padah apabila patah paha kanan, pergelangan tangan kanan dan retak rahang kanan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian 12.15 tengah hari itu ketika suspek berusia 30 tahun dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman berhubung kes samun.

Katanya, Pusat Kawalan Johor Bahru Selatan, menerima maklumat berkenaan orang kena tuduh (OKT) cuba melarikan diri daripada tahanan dengan terjun daripada tingkat tiga bangunan mahkamah.

Menurutnya, ketika kejadian OKT dibawa ke bilik reman di tingkat tiga mahkamah untuk permohonan lanjut reman bersabit kes samun.

“Ketika proses bacaan reman berjalan, tangkapan dalam ruang reman OKT lelaki di bahagian tengah, sedang duduk sementara menunggu giliran untuk bacaan permohonan reman.

“Tangkapan meloloskan diri dengan cara melucutkan gari dari pergelangan tangannya dengan paksaan dan terus keluar melalui tingkap mahkamah,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian itu tangkapan melarikan diri ke arah hujung bangunan dan terus terjun.

Katanya, tangkapan berjaya ditangkap oleh anggota pengiring di tingkat bawah mahkamah dan kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan.

Terdahulu suspek yang beralamat di Pangsapuri PPR Hicom, Seksyen 26, Shah Alam, Selangor, mempunyai rekod jenayah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 10:05 AM