KESEMUA warga asing ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


ALASAN sedang melancong dan membeli belah di negara ini nyata tidak menjadi buat 27 peniaga warga Thailand di Arked Niaga Padang Besar apabila ditahan dalam Op Belanja yang dijalankan 3 hingga 20 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis, Basri Othman berkata, tindakan itu tidak menjadi kerana anggota JIM yang menyamar sebagai pelancong ketika operasi dijalankan berjaya menahan mereka sedang menawarkan produk jualan di premis perniagaan.

“Sebanyak 46 premis dimasuki anggota JIM dengan seramai 55 peniaga diperiksa dan hasilnya enam lelaki dan 21 wanita warga Thailand berusia antara 21 hingga 52 tahun ditahan kerana menyalah gunakan pas pelawat untuk berniaga.

“Selain itu, terdapat majikan yang menggajikan warga asing bagi tujuan menjaga premis perniagaan berikutan majikan mempunyai premis yang lain untuk dijaga.

“Malah pihak kami turut mengesan ada sebahagian warga tempatan yang menyewakan lot premis perniagaan mereka kepada peniaga Thailand selain ‘mengalibabakan’ lesen perniagaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Basri berkata, ketika serbuan dijalankan pihaknya perlu menjalankan penyamaran dengan teliti kerana kawasan perniagaan berkenaan dikawal oleh ‘tonto’ yang membantu warga Thailand meloloskan diri.

“Berdasarkan hasil pemeriksaan juga mendapati mereka sudah berniaga bertahun lamanya di kawasan berkenaan namun sering meloloskan diri dalam serbuan sebelum ini melalui bantuan ‘tonto’ yang diupah khas.

“Bagaimanapun mereka berjaya dicekup dan kesemua warga asing direman selama 14 hari mengikut Seksyen 51 (5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dibawa ke depoh JIM di Kangar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan lapan Saman Saksi (Borang 29) bagi membantu siasatan dan kesemua tahanan disiasat atas kesalahan di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 9:51 AM