MESIN pengisar di kilang plastik.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


TERSEPIT dan dikisar mesin pengisar hingga maut. Itu nasib seorang pekerja warga Myanmar yang menemui ajal sejurus terjatuh ke dalam mesin pengisar ketika mengambil sampel di sebuah kilang plastik di Senai, di sini.

Kemalangan jam 11.30 malam Jumaat itu mengakibatkan tubuh mangsa, Naing Min Wai, 31, tersepit sebelum disahkan meninggal dunia akibat patah leher dan belakang badan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima aduan daripada penyelia kilang berhubung kemalangan membabitkan mangsa pada jam 3.49 pagi kelmarin.

“Ketika itu, rakan setugas mangsa memaklumkan kepada penyelia terbabit berhubung kejadian mangsa terjatuh ke dalam mesin pengisar itu.

“Pengadu terus ke tempat kejadian dan mendapati pekerja terbabit tidak sedarkan diri dipercayai sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, pengadu kemudian terus menghubungi bomba untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Pada masa sama, katanya, pengadu menghubungi Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.


KEADAAN mayat mangsa di mesin pengisar.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan luaran iaitu patah leher dan belakang badan,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati si mati bekerja di kilang plastik itu sejak 10 tahun lalu.

Katanya, pengadu memaklumkan si mati tidak mempunyai musuh dan bekerja dengan baik.

“Pengadu juga menyatakan si mati sudah lama bekerja di situ dan baru saja pulang bercuti ke kampung bertemu ahli keluarganya dua bulan lalu,” katanya.

Menurutnya, bedah siasat sudah dilakukan dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Ir Ahmad Jailani Mansor berkata, satu kemalangan maut dilaporkan berlaku di sebuah kilang plastik di Senai.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan ke atas kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 6:05 AM