Anggota bomba membawa naik penyu yang diselamatkan selepas tersangkut pada pintu masuk Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar (SJTJ), Kampung Dhobi di Port Dickson hari ini. Foto Ihsan JBPM
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


ANGGOTA bomba menyelamatkan seekor penyu yang tersangkut pada pintu masuk Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar (SJTJ), Kampung Dhobi di Port Dickson hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, penyu berkenaan dikatakan tersesat sebelum tersangkut pada besi pintu pagar stesen janakuasa terbabit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.14 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

“Kami menerima panggilan khidmat khas untuk menyelamatkan seekor penyu jantan yang tersangkut.

“Dengan bantuan Jabatan Perikanan, pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan polis bantuan, pihak kami turun ke pintu janakuasa berkenaan dan melepaskan haiwan itu sebelum berjaya dibawa naik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, penyu yang tidak mengalami kecederaan itu dibawa ke Tanjung Gemok dan dilepaskan semula ke pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 10:51 PM