Antara PATI yang ditahan PPM di Pantai Bagan Sungai Belukang, Rungkup di Sitiawan hari ini.
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


CUBAAN sebuah bot dipercayai dari Indonesia menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui perairan Bagan Datuk gagal selepas ditahan di kedudukan 11.5 batu nautika dari Pantai Bagan Sungai Belukang, Rungkup di Sitiawan hari ini.

Seramai 50 individu dipercayai warga Indonesia ditahan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) pada 8.45 pagi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kampung Acheh Deputi Superintendan Jafri Ahmad berkata, pihaknya menahan bot berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu dinaiki warga Indonesia yang mahu pulang ke negara asal.

“Semua yang ditahan membabitkan 31 lelaki dewasa, 17 wanita dan dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara dua hingga 62 tahun.

“Mereka melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jafri, kesemua yang ditahan dibawa ke Markas Operasi PPM Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 10:38 PM