LELAKI maut di lokasi kejadian ketika melakukan kerja kimpalan di dalam kapal di Telok Panglima Garang, Banting. FOTO Ihsan PDRM
Nur Lela Zulkipli
Nurlela@hmetro.com.my


SEORANG lelaki maut dalam kejadian letupan ketika sedang melakukan kerja kimpalan tangki minyak diesel dalam sebuah kapal di Jalan Bandar Lama, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian berkenaan selepas menerima panggilan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang pada 11.45 pagi.

“Siasatan berdasarkan maklumat saksi utama di lokasi kejadian memaklumkan bahawa mangsa bersama rakan sekerjanya, lelaki warga Indonesia berada di dalam kapal untuk melakukan kerja kimpalan berhampiran tangki diesel.

“Ketika kerja kimpalan dijalankan, tiba-tiba berlaku satu letupan angin serta asap daripada tangki terbabit,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa berusia 31 maut di lokasi kejadian, manakala rakannya parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Katanya, tiada kebakaran berlaku di lokasi kejadian.

“Berdasarkan kepada siasatan dan kecederaan yang dialami oleh mangsa dan rakannya, dipercayai adalah disebabkan kemalangan di tempat kerja,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 9:27 PM