SEBAHAGIAN murid dari beberapa sekolah ceria menerima sumbangan Pek Kembali ke Sekolah.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

SERAMAI 30,000 murid sekolah rendah kurang bernasib baik daripada 1,000 sekolah di seluruh negara menerima pek Kembali ke Sekolah dengan nilai RM3 juta sebagai motivasi untuk mereka berjaya dalam pelajaran dan lebih gembira ke sekolah.

Program kemasyarakatan ini adalah acara tahunan di atas platform Bulan Komuniti McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald’s Malaysia (RMHC) sejak 2017.

Pek Kembali ke Sekolah itu adalah inisiatif McDonald’s Malaysia yang diiktiraf Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan disokong Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Pengarah Urusan & Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia merangkap Presiden RMHC Malaysia, Azmir Jaafar berkata, program Kembali Ke Sekolah yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya tahun ini adalah yang terbesar pernah diadakan dengan nilai tajaan lebih RM3 juta.

Katanya, daripada jumlah tajaan itu, setiap kanak-kanak daripada golongan berpendapatan rendah dan miskin bandar menerima sepasang pakaian seragam, kasut dan beg sekolah bernilai RM100 seorang.

“McDonald’s Malaysia percaya aspek pendidikan adalah penting dan perlu dititikberatkan kerana kanak-kanak adalah generasi masa depan negara dan kami percaya setiap mereka berhak menerima sokongan sewajarnya untuk berjaya.

“Kami memahami beban perbelanjaan persekolahan yang perlu ditanggung ibu bapa dan penjaga setiap awal tahun persekolahan.

“Harap sumbangan ini membolehkan mereka menarik nafas lega dan wang peruntukan membeli keperluan persekolahan boleh dibelanjakan untuk perkara mustahak lain,” katanya selepas majlis pelancaran peringkat nasional Program pek Kembali ke Sekolah di Sekolah Rendah Klang Gate di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.


NIE Ching (empat kanan) bersama Azmir (kiri) menyarungkan baju sekolah kepada murid sebagai simbolik pelancaran peringkat nasional Program Pek Kembali ke Sekolah.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. Hadir sama, Wakil Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia, Ismail Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Khairul Anuar Awang, Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Gombak, Sajoli Masdor, Guru Besar SK Klang Gate, Mohd Khir Shafiee dan Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Nordin.

Menurut Azmir, maklum balas positif daripada guru dan ibu bapa kanak-kanak yang terbabit sebelum ini menjadikan pihaknya bersemangat melakukan yang terbaik dan membantu ramai murid.

“Membantu golongan masyarakat yang memerlukan adalah nilai teras McDonald’s Malaysia dan kami gembira dengan sumbangan yang turut dihulurkan rakan niaga, francaisi, warga kerja dan pelanggan kami.

“Kami akan berusaha memperluaskan dan menggandakan jumlah pek Kembali ke Sekolah daripada 40,000 kepada 50,000 dan seterusnya pada tahun akan datang.

“Terima kasih diucapkan kepada rakyat Malaysia dan teruslah menyumbang kerana dengan sumbangan mereka melalui tabung Ronald McDonald’s, lebih ramai rakyat atau kanak-kanak dapat dibantu,” katanya.

Sementara itu, Nie Ching berkata, program itu adalah contoh terbaik pihak swasta dan KPM di mana McDonald’s Malaysia dan RMHC berjaya mengumpul dana RM3 juta bagi menyediakan pek Kembali ke Sekolah bagi membantu murid daripada golongan B40.

“KPM kini memberi fokus kepada B40 dan kerana itu kami memulakan beberapa polisi baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:23 PM