Anggota bomba memeriksa keadaan nelayan yang kepalanya tercucuk besi di di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Perlis semalam. Foto Ihsan JBPM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


NELAYAN warga Thailand terpaksa menahan azab selama 10 minit apabila kepalanya tercucuk besi penarik pukat ketika sedang menarik pukat di atas bot majikannya di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Perlis semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Superintendan Abdul Shukor Yusoff berkata, mangsa berusia dalam lingkungan 30-an sedang menarik pukat ke atas bot dengan menggunakan besi berkenaan ketika kejadian pada 10 malam tadi.

“Ketika mengendalikan besi berkenaan secara tiba-tiba besi sepanjang hampir dua meter berkenaan tercucuk pada kepalanya sendiri.

“Bagaimanapun, kecederaannya dialaminya tidak serius kerana besi terbabit hanya mengenai pada bahagian kulit kepala saja.

“Dia dan rakannya tidak berani menarik besi terbabit keluar dari kepalanya dan menunggu sehingga pihak bomba tiba bagi membantu mengeluarkan besi terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Shukor berkata, lelaki terbabit kemudiannya dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada 10.05 malam.

“Seramai tiga anggota tiba di lokasi kejadian dan didapati seorang lelaki sedang mengadu kesakitan berikutan besi tercucuk kepalanya.

“Kami memotong bahagian besi berkenaan sebelum mengeluarkan lebihan besi sebelum dia dikejarkan ke hospital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:16 PM