Shaiful Afzan menyerahkan surat permohonan maaf secara terbuka kepada Majdah di Kota Bharu hari ini. Foto Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my


PEMANDU lori yang memfitnah adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A’ishah Putri Sultan Ismail Petra melalui komen Facebook (FB) memohon maaf secara terbuka, hari ini.

Shaiful Afzan Mahamed, 38, pada September lalu memuat naik komen dengan mendakwa Tengku Amalin A’ishah ‘orang kampung’ dan anak angkat kepada Almarhum Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Lelaki yang berasal dari Kampung Pantai Irama, Bachok itu berkata, dengan rendah diri dia memohon maaf dan keampunan daripada Tengku Amalin A’ishah.

“Saya tidak berniat untuk mengaibkan atau menjatuhkan nama baik dan martabat institusi diraja dengan memuat naik kenyataan berbentuk fitnah sebegini.

“Saya insaf dan kesal dengan apa yang berlaku, malah sebelum ini sudah ditahan reman selama seminggu pada 18 September lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas ditangkap di Pasir Gudang, Johor.

“Selain itu, saya berjanji perkara sebegini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang. Apa yang berlaku adalah suatu kekhilafan dan kesilapan yang tidak disengajakan dan perkara ini memberi pengajaran kepada saya dan warganet lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat permohonan maaf kepada peguam Tengku Amalin, Majdah Muhamad di Kota Bharu hari ini.

Shaiful Afzan turut menyesal kerana biadap terhadap Tengku Amalin dan tidak mengharapkan apa-apa kecuali pengampunan daripada adinda Sultan Kelantan itu.

Pada 17 September lalu, Tengku Amalin membuat laporan polis terhadap seorang lelaki yang didakwa memfitnah beliau di FB.

Sementara itu, Majdah berkata, beliau akan menyampaikan surat permohonan maaf berkenaan kepada Tengku Amalin.

“Saya juga menunggu titah dari Tengku Amalin untuk tindakan selanjutnya.

“Dengan kes ini, saya berharap agar ia menjadi pengajaran kepada netizen di luar sana agar berhati-hati dalam memberi komen terutama berkaitan institusi diraja,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Adinda Sultan Kelantan lapor polis
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 5:46 PM