Antara barang yang dirampas daripada dua lelaki dipercayai terbabit kes samun dan ragut sekitar Cheras, semalam. Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


DUA lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit beberapa kes samun dan ragut di sekitar Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kedua suspek masing-masing berusia 24 dan 30 tahun itu ditahan oleh beberapa pegawai dan anggota Pasukan Khas Operasi Ragut (Op Ragut) yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Taman Segar, Cheras pada 7.15 malam.

Menurutnya, pada mulanya polis cuba menahan sebuah motosikal dinaiki kedua-dua suspek untuk pemeriksaan tetapi menunggangnya memecut kenderaannya.

“Polis kemudiannya mengejarnya di sekitar Taman Segar sebelum motosikal dinaiki suspek berkenaan melanggar motosikal seorang anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, pemeriksaan terhadap kedua suspek itu menemui tiga rantai, dua telefon bimbit dan satu beg sandang.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap mereka mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methaphetamine,” katanya.

Menurutnya, dengan penahanan kedua suspek berkenaan dipercayai dapat menyelesaikan beberapa kes samun dan ragut di daerah terbabit.

“Kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen (15)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 5:24 PM