Ahli jawatankuasa Surau Al- Faizin, Mohd Azizi Yahaya menunjukkan imej lucah yang diconteng pada dinding surau di Taman Cheng Setia, Melaka semalam. Foto Khairunisah Lokman
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my


“KAMI tidak pasti apa motif individu berkenaan bertindak melukis gambar tidak senonoh begitu di dinding surau,” kata Ketua Biro Pembangunan Surau Al- Faizin, Taman Cheng Setia di Melaka, Mohd Rossazali Yusri, 33.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada 8.30 malam Sabtu lalu selepas seorang individu dikatakan bertindak memasuki kawasan surau berkenaan dan melukis imej lucah serta lambang Nazi di dinding bahagian pengurusan jenazah, bilik imam serta stor.

Menurutnya, tindakan itu secara tidak langsung boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan penduduk setempat.

Katanya, kejadian disedari hanya isterinya pada 7.20 pagi semalam ketika berjoging di taman berhampiran sebelum memaklumkan kepadanya.

“Saya bergegas ke surau sebelum melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan ternyata perbuatan individu berkenaan berjaya dirakam.

“Dalam rakaman itu, seorang individu dilihat memanjat pagar bahagian belakang surau dan melukis gambar tidak senonoh itu menggunakan semburan cat kuning.

“Ini kawasan surau, sepatutnya perkara sebegini tidak berlaku,” katanya ketika ditemui di surau berkenaan.

Menurutnya, satu laporan sudah dibuat di Balai Polis Tanjung Minyak.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Polis minta kerjasama orang awam yang ada maklumat atau menyaksikan kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 5:04 PM