Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


POLIS Perlis menyerahkan segala siasatan kepada Bukit Aman berhubung isu jenayah penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Padang Besar.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, pihaknya tidak berkuasa penuh ke atas tembok sempadan negara sebaliknya ia dikawal selia secara terus oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

“Jadi sebarang keputusan mahupun komen mengenai tembok sempadan biarlah Ketua Polis Negara atau KDNKA yang mengulasnya lebih lanjut.

“Polis negeri hanya mempunyai kuasa ke atas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Polis Marin, mengenai tindakan atau keputusan berkaitan Pasukan Gerakan Am (PGA) biar mereka (Bukit Aman) tentukan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di Kangar.

Terdahulu, Surina merasmikan Program Bulan Sukan Negara (BSN) 2019 peringkat IPK Perlis di perkarangan IPK dengan dihadiri 400 pegawai dan anggota terdiri daripada Ketua Jabatan Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Perlis.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan beberapa antara ribuan klip video yang memperlihatkan aktiviti jenayah penyeludupan berleluasa di sempadan Malaysia - Thailand dekat Padang Besar tanpa memaklumkan sumber video berkenaan.

Bagaimanapun, Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu sidang media semalam di ibu negara menjelaskan insiden di dalam video terbabit berlaku pada 2017 lalu.

Mengulas lanjut mengenai saranan penambahan kamera litar tertutup (CCTV) dekat sempadan Malaysia-Thailand, Surina bersetuju sekiranya perkara terbabit ditambah baik dalam usaha mengekang jenayah sempadan.

“Kita memang mahukan yang terbaik khususnya penambahan CCTV, alat pengimbas dan kerosakan pagar sempadan yang dapat diperbaiki.

“Ini bagi menambahkan kawalan keselamatan sempadan oleh pihak berkaitan dapat dilakukan dengan lebih baik,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Penyeludupan rentas sempadan bukan isu baru
  • Polis dah ambil tindakan
  • Kantoi seludup di sempadan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 12:39 PM