BOMBA membantu memotong gelang tangan dipakai mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


MALANG berganda buat seorang wanita berusia 40 tahun apabila pergelangan tangan kanannya patah dalam kemalangan jalan raya sebelum gelang tangan dipakai gagal dibuka di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di Temerloh, semalam.

Difahamkan, pihak HOSHAS menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin bagi melakukan kerja memotong barang perhiasan dipakai wanita terbabit.

Ketuanya, Penolong Penguasa Bomba, Hasnuddin Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 1 pagi sebelum bergegas ke hospital.

“Kita difahamkan pergelangan tangan kanan wanita itu patah akibat kemalangan jalan raya sebelum dia dibawa ke hospital.

“Sebaik tiba di hospital gelang dipakainya gagal dibuka sebelum lapan anggota kita tiba bagi melakukan operasi memotong gelang dipakainya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasnuddin berkata, operasi mengambil masa kira-kira 15 minit dengan menggunakan peralatan memotong besi.

Katanya, wanita terbabit kemudian diserahkan kepada pegawai perubatan hospital sejurus operasi selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 11:20 AM