TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan polis terhadap dua artikel disiarkan dua portal berita. FOTO Mohd Azam Shah Yaacob
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung siasatan terhadap artikel bertajuk ‘Kerajaan Baharu Tapi Polis Pada Takuk Lama’ yang disiarkan sebuah portal.

Beliau tiba pada 9.50 pagi dengan menaiki kereta Toyota Vellfire berwarna putih dan ditemani peguamnya, K Ragunath.

Ramasamy ketika ditemui berkata, kedatangannya bukan sekadar bagi membantu siasatan berhubung artikel itu, sebaliknya juga membabitkan siasatan polis terhadap artikel bertajuk 'Who Am I, terorist atau pendamai' yang juga disiar sebuah portal berbeza.

Katanya, dia berharap dan tidak rasa bahawa siasatan polis itu membabitkan campur tangan politik.

"Pagi ini saya datang terus dari Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung siasatan polis terhadap dua artikel berkenaan yang sebelum ini disiar dua portal berita.

"Bagi saya, polis ada hak untuk mengambil keterangan dan saya pula ada hak untuk meluahkan pendapat kerana sebagai warganegara Malaysia, sesiapa pun berhak menulis atau berucap mengenai isu yang berlaku," katanya ketika ditemui di luar pintu utama Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Ramasamy berkata, terpulang kepada polis untuk menganggap sama ada isu atau perkara dibangkitkannya yang disiarkan portal berita adalah bertentangan dengan undang-undang.

Pada 17 September lalu, Ramasamy dilaporkan berkata, bahawa beliau terkilan dan terkejut dengan insiden berbalas tembakan antara polis dan tiga perompak lelaki berbangsa India dari Batu Caves hingga ke Batu Arang yang berlaku 14 September lalu.

Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Prai juga tertanya-tanya dengan insiden itu sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.

Terdahulu, dalam kejadian 5 pagi pada 14 September lalu, polis menembak mati tiga penjenayah dipercayai aktif melakukan samun pecah rumah, di Kilometer 22, Jalan Batu Arang, Rawang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 10:48 AM