ANTARA kawasan terjejas banjir di Perak Tengah, semalam. FOTO Ihsan APM
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


HUJAN lebat berterusan dan limpahan air sungai menyebabkan daerah Perak Tengah dilanda banjir, semalam.

Susulan itu, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Teluk Kepayang, Bota Kiri, Bota, dibuka malam tadi bagi menempatkan 41 penduduk yang terjejas.

Ini menjadikan dua daerah di Perak dilanda banjir termasuk Hilir Perak dengan jumlah keseluruhan mangsa banjir seramai 266 orang.

Jurucakap Sekretariat Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri berkata, pusat pemindahan dibuka pada 8 malam tadi susulan banjir yang menjejaskan Kampung Misa Teluk Kepayang, Bota Kiri, Bota.

“Seramai 41 keluarga membabitkan 38 lelaki dewasa dan tiga kanak-kanak lelaki dipindahkan ke pusat pemindahan.

“Di Hilir Perak, PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan yang dibuka sejak Jumaat lalu menempatkan 225 penduduk daripada 62 keluarga.

“Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Batu 9, Kampung Batu 7, Lorong Mesra Batu 7 1/2, Batu 8 dan Kampung Batu 6,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, ketika ini cuaca baik dan situasi banjir dipantau pelbagai agensi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 9:49 AM